Dapatkan Kupon PTS Sempena KL International Book Fair 2011!!!

Friday, November 26, 2010

Kisah Aku di Kem Putra Soleh



"Sesegar hijau daunan,
begitulah kita diibaratkan
tiada siapa yang bisa memisahkan kita
antara kita semua

Seerat simpulan yang tidak terbuka
Seteguh langit tinggi menongkah dunia
kita mengharung badai atas nama
Kasih insan bersaudara..."


Alunan lagu inilah yang melambangkan ukhuwah yang terjalin antara kami di KEM PUTRA SOLEH pada 22-24 nov baru-baru ini.Dalam mencari keredhaan Allah, aku harus berusaha mencari ilmu dan menimba pengalaman dalam mencari erti sebenar keredhaan Allah itu. Maka, roh dan jasadku melangkah mengikuti Kem Putra Soleh ini.

Pada hari pertama, aktiviti Ta'aruf dengan ahli kumpulan dan fasilitator.Kumpulan aku terdiri daripada Azimin (ketua), Nadiah, Shzwani, Naziah, Salihah, dan Safikah. Manakala fasilitator kami ialah Kak Izzah dan Akhi Zakuan. Dalam LDK 1 (Latihan Dalam Kumpulan) kami diberi tugasan untuk melukis benda atau perkara yang melambangkan diri setiap daripada kami dan gambar muka kami sendiri. Kemudian kami perlu menerangkan gambar yang telah dilukis.


Aku melukis gambar sungai yang mengalir melambangkan diri aku. Nak tau kenapa? Salah satu sebabnya ialah kami berbincang di kawasan sungai. Maklumlah, kem ini diadakan di Sungai Congkak, Hulu Langat Selangor. Jadi automatiknya otak aku memberi maklumat untuk melukis sebatang sungai yang dikelilingi oleh pokok-pokok hijau dan dihiasi dengan batu-batu sungai. Ha... boleh bayang tak macam mana aku lukis??? Kalau boleh bayang alhamdulillah.
Tahu tak apa maksud di sebalik lukisan sungai itu? Meh sini aku terangkan. Dikatakan anak pertama berunsur tanah, anak kedua berunsur air, anak ketiga berunsur api dan anak keempat berunsur angin. Aku ni anak kedua, maka air lah unsur pilihan... Air melambangkan ketenangan. Selalunya aku tenang, mungkin juga pendiam. "Well, cool bebeh!". Tapi bila banjir melanda, aku mungkin gelabah. Dan satu hari Tsunami melanda, aku akan naik darah di mana dengan tidak semena-mena aku boleh memarahi orang tanpa signal. Tapi jangan kecut pulak perkara ini jarang-jarang berlaku. Dalam setahun tu adalah 2-3 kali jer kowt... Lebih mudah lagi kalau aku katakan: Air yang tenang, jangan sangka tiada buaya. Akhir sekali, air juga melambangkan diri aku yang mudah berubah mengikut keadaan. Tapi aku memerlukan masa untuk meng'adapt'kan diri dengan keadaan sekeliling. Hmmm.. itulah serba sedikit tentang diri aku mengikut unsur air.

P/S: jangan percaya sangat tentang unsur yang dikatakan, ianya hanya teori semata-mata...


Dalam LDK yang sama juga kami diberi tugasan untuk melukis bendera kami sendiri. Atas gabungan lukisan ahli kumpulan, maka, terjadilah bendera yang lebih kurang macam bendera sekolah... Kumpulan kami diberi nama UKHUWAH yang bermaksud ikatan persaudaraan. Semoga ukhuwah yang terjalin kekal selepas menyertai kem ini.

Semasa berada di kem ini, salah satu sunnah Rasulullah iaitu makan di dalam talam dijadikan amalan dan budaya. Untuk pengetahuan, makan dalam talam ada peraturannya. Mula-mula baca doa sebelum makan. Kemudian, suapan pertama perlu disuapkan kepada sahabat setalam. Makanan di dalam talam itu wajib dihabiskan. Setelah habis, lagi satu sunnah Rasulullah ialah menjilat-jilat hujung jari tangan kanan. Kemudian, baca doa selepas makan dan talam dibasuh dengan bersih.

Bagi sesiapa yang tiada pengalaman makan di dalam talam, pasti anda berasa janggal. mungkin ada yang menganggap kotor, kerana berkongsi makanan, ada yang tidak selesa, dan sebagainya. Kalau korang nak tahu, makan dalam talam ini banyak kebaikannya.

Kebaikan makan di dalam talam:
  • Makanan terasa lebih enak
  • Mewujudkan sifat kasih sayang
  • Bertolak ansur
  • Mengelakkan pembaziran
  • Memudahkan pembersihan talam. Tidak perlu membasuh pinggan yang banyak
Untuk sesiapa yang mengatakan ianya kotor, setakat ini alhamdulillah belum ada kes penyakit berjangkit atau keracunan makanan disebabkan makan di dalam talam. Sunnah Rasulullah pasti ada beribu kebaikannya sekiranya kita mengamalkannya.

Nabi saw, pernah bersabda: "Barangsiapa yang mengikuti sunnahku, beerti dia cinta kepadaku, maka akan masuk syurga bersamaku."

Kembali kepada ceritera Kem Putra Soleh, di sini, kami wajib menunaikan solat berjemaah setiap waktu solat. Berzikir dan berdoa kepada Allah bersama cengkerik, katak, burung-burung, pokok-pokok, tumbuh-tumbuhan, tiupan angin dan derusan air sungai yang mengalir di sekeliling kami. Terasa indah, nyaman, dan tenang berada di sini. Bersyukur dan banggaNya aku dengan alam ciptaan Allah yang menakjubkan itu. Subhanallah!

Pada waktu petang ami beriadah , dengan bermain goleng-golek gelong. Permainan ini seperti permainan bola sepak. Para pemain perlu menggolekkan gelung sehingga masuk ke dalam gol. Dalam perjalanan memasukkan gol itu, para pemain perlu mengatasi pihak lawan.

Aktiviti diteruskan dengan sesi ceramah bersama Dr Mat Rofa. Tajuk yang dibincangkan ialah Aqidah dan Ideologi. Terdapat beberapa ideologi yang telah diciptakan oleh orang Yahudi untuk memporak perandakan manusia. Antaranya ialah:
sekularisme
kapitalisme
komunisme
nasionalisme
liberalisme
hidonisme
sosialisme
darwinisme
Untuk hari pertama, kami berakhir dengan minum malam. Sebelum waktu tidur, kami diwajibkan untuk membaca surah al-Mulk. Ini juga menjadi amalan di sini.

Pada pukul 4.00 pagi para peserta bersama-sama berqiamullail, bersolat dan menuanikan solat Subuh berjemaah. Setelah solat subuh, kuliah subuh pula diberikan. Kemudian, diikuti dengan riadah dan jungle tracking.

Pengalaman jungle tracking di sini sangat mencabar. Kami perlu mendaki bukit yang curam, lecah, jalan yang sempit, sungai, hutan banat, dan sebagainya untuk sampai ke destinasi. Dalam mengharungi cabaran melintasi hutan banat itu, kumpulan aku dan dua lagi kumpulan hilang jejak. Kami terpaksa berpatah balik mencari jalan yang sebenarnya. Semasa dalam perjalanan itu, aku tergelincir akibat bukit yang curam dan licin. Alhamdulillah sempat diselamatkan oleh sahabat sekumpulan. Begitulah di dalam kehidupan, sahabat sekeliling sangat penting untuk membantu dan menyelamatkan kita tatkala kita sendiri tergelincir dalam mendepani ranjau hidup ini. Apabila tersesat pula, kita perlu berpatah balik dalam mencari jalan yang sebenar dan sabar menghadapi ujian Allah yang penuh dengan 'lecah', 'sungai deras', 'bukit curam', 'jalan sempit', 'hutan banat' dan sebagainya. Itulah kehidupan. Asam garam, pahit manis kehidupan. Itulah juga nikmat Allah berikan kepada kita.

Setelah menyusuri hutan banat, kami akhirnya sampai ke destinasi. Di sinilah kami mengisi perut dengan nasi yang telah disediakan dan menunaikan solat fardhu zuhur berjemaah berbumbungkan langit, berlantaikan bumi. Setelah menunaikan kewajipan solat, kami dikehendaki melukis bendera yang telah dibincangkan semalam. Dalam asyik mewarnakan bendera, tiba-tiba beberapa titisan air jatuh ke atas hamparan bendera yang belum lagi siap diwarnakan. Rupa-rupanya hujan mula memberikan petandanya untuk membasahi bumi. Dengan petanda itu, Pengarah Kem Putra Soleh memutuskan untuk tidak meneruskan perjalanan ke kawasan air terjun. Kami berkumpul untuk bertolak pulang ke kawasan penempatan kami. Hujan pada waktu itu sangat lebat. Sesampainya di kem, kami kebasahan. Tak dapat mandi air terjun dari bukit, air terjun dari langit pon jadilah!

Kem Putra Soleh tidak berhenti sampai di situ. Setelah mempersiapkan diri, aktiviti diteruskan dengan malam kebudayaan islam. Kami dikehendaki membuat persembahan berdasarkan tajuk yang telah diberikan. Ada yang memberikan persembahan sketsa, pentomen, berbalas pantun, dan ada juga yang berforum. Kumpulan kami membuat persembahan lain daripada yang lain. Nak kata menyanyi bukan, nak kata bercerita pun bukan,pendek kata macam coral speaking lah...Kami mendapat tajuk Kapitalisme.

Kapitalisme merupakan sistem ekonomi dan sosial yang cenderung ke arah pengumpulan kekayaan oleh individu tanpa gangguan kerajaan dan bermatlamatkan keuntungan. Pengkritik sistem kapitalis berpendapat sistem ini mewujudkan jurang perbezaan yang ketara antara yang kaya dengan yang miskin.

Setelah tamat membuat persembahan, kami pun tidur dengan lenanya kerana keletihan. Eh, jangan lupa! Bacaan al-Mulk harus dibaca sebelum tidur.

Pada pukul 3.00 pagi kami dikejutkan untuk sesi Night Walk. Mata ditutup dengan kain. Tangan dipegang erat oleh sahabat sekumpulan dan kami ditarik seperti ala-ala cerita Ali Baba Bujang Lapok. Di mana apek ditarik oleh Marjinah sambil tutup mata. Oh, bukan itu yang ingin diceritakan. Kami ditinggalkan berseorangan di suatu kawasan yang tidak diketahui.
Zikir dan doa menjadi peneman di kala keseorangan. Terdengar pelbagai bunyi-bunyian disekeliling. ada yang menyeramkan.Ada bunyi dentuman yang tak diketahui, bunyi khinzir dan sebagainya. Aku hanya mendiamkan diri. Setelah beberapa ketika, kami mendapat arahan untuk membuka penutup mata dan berkumpul semula. Baru kutahu kami diletakkan berseorangan di dalam kawasan yang sama iaitu tempat kami berkumpul dan bunyi-bunyian itu hanya dibuat-buat oleh fasilitator untuk menguji ketahanan mental para peserta. Night walk ini bertujuan untuk melatih diri peserta dengan menyerahkan segalanya kepada Allah swt. Berlindung hanya kepada Allah.

Kemudian para peserta berqiamullail dan kuliah subuh diberikan. Insya Allah, moga apa yang disampaikan memberi makna kepada para peserta.

Aktiviti terakhir di Kem Putra Soleh ialah Explore Race. Terdapat 5 check point. Di setiap check point ada tugasan dan amanah yang diberikan. Explore race kali ini sangat memberi manfaat kepadaku. Berbanding dengan explore race yang aku sertai sebelum ini hanya ingin mem'buli' dan tiada manfaat langsung. Secara keseluruhannya, kami mempelajari sifat sabar dalam menerima cabaran, ikatan ukhuwah , pengertian pembersihan jiwa, aqidah (Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui), cara dakwah berkesan, menepati dan menggunakan masa dengan betul dan banyak lagi yang kami pelajari. Akhir sekali , setiap amanah yang diberikan di setiap check point perlu digabungkan untuk menyediakan satu menu makanan tengah hari iaitu kari telur. Di dalam tugasan ini, kami diuji bagaimana untuk membina satu pengkhususan kerja yang terbaik supaya dapat menghasilkan masakan yang terbaik.

Kem Putra Soleh ditutup dengan majlis penutup dan penyampaian hadiah. Akhir sekali, bacaan doa Rabitah berjemaah. Bacaan Doa Rabitah sangat menyentuh hati dan juga terasa gerun tatkala mukmin melafazkannya dengan penuh kesungguhan di hati. Bergetar jiwaku apabila mendengarnya. Nak tahu apa rasanya??? Jom, sertai KPS di musim akan datang!

P/S: gambar akan diupload kemudian...

8 comments:

  1. Terima kasih.Sekiranya ada penambahan, maklumkanlah yer. entry ini tidak lengkap lagi. Insya allah akan dilengkapkan dengan gambar-gambar yang menarik sepanjang KPS berlangsung.

    ReplyDelete
  2. Terima Kasih atas komitmen yg diberikan..
    semoga Allah permudahkan segala urusan anda...

    ReplyDelete
  3. KPS mmg seronok... hrp ada sambungannya.. hehe

    ReplyDelete
  4. insyaAllah ada sambungan nya ...
    nantikan kps2...
    moga Allah redha

    ReplyDelete
  5. bestnye!! nak join!!!

    ReplyDelete
  6. Terima kasih atas semua komen yg diberikan. Program seperti KPS sangat bagus untuk mendidik mahasiswa dengan cara hidup islam yang sebenar.Ianya perlu diperbanyakkan. Dan diharapkan lebih banyak lagi sokongan dari pelbagai pihak dalam program kerohanian ini.
    wallahualam...

    ReplyDelete
  7. insya allah KPS2 akan dijalankan pada cuti hari raya cina

    ReplyDelete