Dapatkan Kupon PTS Sempena KL International Book Fair 2011!!!

Sunday, October 24, 2010

Tanggungjawab Hanya Kerana Allah

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum...

Setiap manusia mempunyai tanggungjawab sendiri. Sama ada sebagai seorang ibu bapa, anak, sahabat, pelajar, pemimpin dan sebagainya. Apabila seseorang telah memegang tanggungjawab itu, maka, adalah wajib baginya untuk melaksanakan tugasnya. Namun begitu, perlu diingatkan, laksanakanlah tanggungjawab itu dengan keikhlasan hati hanya kerana Allah swt.

Aku sebagai manusia yang lemah sedang mendidik diri melakukan setiap perkara hanya kerana Allah. Hal ini kerana, kadang-kadang apabila kita berkobar-kobar untuk melaksanakannya, ada sahaja halangan yang menimpa. Sebagai contoh, kita tidak mendapat sokongan atau bantuan dari orang di sekeliling terutamanya orang yang terlibat. Semangat kita mungkin terputus begitu sahaja. Oleh itu, apa yang perlu kita lakukan ialah dengan memujuk hati dan diri bahawa itu hanya ujian daripada Allah Yang Maha Berkuasa. Dia ingin menguji keimanan dan kesungguhan kita.

Di mana-mana sahaja, apabila ada sahaja aktiviti yang melibatkan kerohanian, bilangan umat Islam yang mengikutinya sangatlah sedikit. Tapi, apabila aktiviti kebudayaan yang dijalankan, berpusu-pusu manusia ingin menontonnya. Itulah ujian yang Allah berikan kepada manusia sekaliannya. Menguji kesabaran orang yang menganjurkan aktiviti kerohanian dan menguji keimanan orang yang perlu membuat pilihan sama ada ingin melangkah kaki menuju kepada hiburan mahupun kepada kerohanian.

Sebagai khalifah Allah yang bertanggungjawab, laksanakanlah sesuatu itu kerana Allah. Sekiranya kita sentiasa ingat kepada Allah, maka kita sepatutnya telah membuat pilihan yang betul demi masa depan kita di dunia dan akhirat. Selain itu, apabila Allah menjadi yang utama, kita akan menjadi tenang. Kerja yang dilakukan juga menjadi senang. Semoga apa yang kita laksanakan dirahmati Allah swt.